Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(18:1) Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al Kitab (Al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalam Al-Quran itu; (18:2) sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan seksaan yang sangat pedih dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal saleh, bahawa mereka akan mendapat pahala yang baik (iaitu syurga), (18:3) mereka kekal di dalam syurga itu selama-lamanya. (18:4) Dan Al-Quran itu untuk memperingatkan kepada orang-orang yang berkata: "Allah mengambil seorang anak". (18:5) Mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah buruknya perkataan yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta. (18:6) Maka (apakah) barangkali kamu akan mencelakakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan (Al-Quran) ini. (18:7) Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di atas bumi sebagai perhiasan bagi bumi itu, agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang lebih baik perbuatannya.