Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(3:120) Jika kamu memperoleh kebaikan, maka menyusahkan mereka, tetapi Jika kamu mendapat bencana, maka mereka bergembira atas bencana yang menimpamu itu. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tidak akan merugikanmu sedikitpun tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan. (3:121) Dan (ingatlah), ketika kamu berangkat pada pagi hari meninggalkan keluargamu, (lalu) kamu tempatkan orang-orang mukmin (atau beriman) pada beberapa tempat untuk berperang (pada perang Uhud). Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, (3:122) ketika dua golongan dari kamu ingin (mundur) kerana takut, padahal Allah adalah Penolong bagi kedua golongan itu. kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin (atau beriman) bertawakal. (3:123) Sungguh Allah telah menolong kamu dalam perang Badar, padahal kamu (dalam keadaan) lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu bersyukur. (3:124) (Ingatlah), ketika kamu mengatakan kepada orang mukmin: "Apakah tidak cukup bagi kamu bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)?" (3:125) Ya (cukup), jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka datang menyerang kamu dengan tiba-tiba, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu Malaikat yang memakai tanda masing-masing. (3:126) Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai berita gembira bagimu agar tenteram hatimu dengan berita itu. Dan tidaklah pertolongan itu melainkan dari sisi Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.