Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(46:15) Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungkannya sampai menceraikan susunya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun, ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redai; berilah kebaikan kepadaku dan juga kepada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". (46:16) Mereka itulah orang-orang yang Kami terima amal baik yang telah mereka kerjakan dan Kami ampuni kesalahan-kesalahan mereka, bersama penghuni-penghuni syurga, sebagai janji yang benar yang telah dijanjikan kepada mereka. (46:17) Dan orang yang berkata kepada kedua ibubapanya: "Cis bagi kamu berdua, apakah kamu berdua memperingatkan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan, padahal sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumku? lalu kedua ibubapanya itu memohon pertolongan kepada Allah seraya mengatakan: "Celaka kamu, berimanlah! Sesungguhnya janji Allah adalah benar". Lalu dia berkata: "Ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu belaka". (46:18) Mereka itulah orang-orang yang telah pasti ketetapan (azab) atas mereka bersama umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka, dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang rugi. (46:19) Dan bagi masing-masing mereka darjat menurut apa yang telah mereka kerjakan, dan agar Allah mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka sedang mereka tiada dirugikan. (46:20) Dan pada hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka, (kepada mereka dikatakan): "kamu telah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (sahaja) dan kamu telah bersenang-senang dengan semua itu; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan, kerana kamu telah menyombongkan diri di muka bumi tanpa hak, dan kerana kamu telah fasik". (46:21) Dan ingatlah Hud, saudara kaum `Ad, iaitu ketika dia memberi peringatan kepada kaumnya di bukit pasir dan sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang pemberi peringatan sebelum dan sesudahnya (dengan mengatakan): "Janganlah kamu menyembah selain Allah, sesungguhnya aku khuatir kamu akan ditimpa azab hari yang besar".