Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(59:15) (Mereka) seperti orang-orang yang sebelum mereka (iaitu orang-orang Yahudi) belum lama berselang, mereka telah merasakan akibat buruk (terusir) kerana perbuatan mereka (sendiri), dan bagi mereka azab yang pedih. (59:16) (Perumpamaan orang-orang munafik itu adalah) seperti (perumpamaan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: "Kafirlah kamu", maka tatkala manusia itu telah kafir, lalu ia berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seluruh alam". (59:17) Akibat perbuatan keduanya itu, maka kedua-duanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim. (59:18) Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (atau akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (59:19) Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik. (59:20) Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah orang-orang yang berjaya. (59:21) Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah-belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.