Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(73:15) Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu seorang Rasul, yang menjadi saksi terhadapmu, sebagaimana Kami telah mengutus (dahulu) seorang Rasul kepada Fir`aun. (73:16) Maka Fir`aun menderhakai Rasul itu, lalu Kami seksa dia dengan seksaan yang berat. (73:17) Maka bagaimana kamu bertakwa jika kamu tetap ingkar kepada hari yang menjadikan anak-anak muda beruban (73:18) Langit terbelah pada hari itu. Janji Allah pasti terlaksana. (73:19) Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan. Maka barang siapa yang menghendaki nescaya ia mengambil jalan (yang lurus) kepada Tuhannya. (73:20) Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya kamu berdiri (solat) kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiga malam dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahawa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, maka Dia menerima taubatmu, kerana itu bacalah apa yang mudah bagimu dari Al Quran. Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurniaan Allah; dan orang-orang yang lain lagi berperang di jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah bagimu dari Al Quran dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Dan kebaikan apa sahaja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh balasan pahala itu di sisi Allah sebagai balasan pahala yang paling baik dan yang paling besar. Dan mohonlah keampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.