Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(4:155) Maka (Kami lakukan terhadap mereka beberapa tindakan), disebabkan mereka melanggar perjanjian itu, dan kerana kekafiran mereka terhadap keterangan-keterangan (atau ayat-ayat) Allah dan mereka membunuh nabi-nabi tanpa (alasan) yang benar dan mengatakan: "Hati kami tertutup". Bahkan, sebenarnya Allah telah mengunci mati hati mereka kerana kekafiran mereka, kerana itu mereka tidak beriman kecuali sebahagian kecil dari mereka. (4:156) Dan kerana kekafiran mereka (terhadap Isa) dan tuduhan mereka terhadap Maryam dengan kedustaan besar (iaitu berzina). (4:157) Dan kerana ucapan atau perkataan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih (rasul yang diselamatkan secara langsung oleh Allah), Isa putera Maryam, rasul Allah", padahal mereka tidak membunuh Isa dan tidak pula mereka menyalib Isa, tetapi (mereka membunuh) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, melainkan mengikut sangkaan belaka, mereka tidak pula yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. (4:158) Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (4:159) Tidak ada seorangpun dari Ahli Kitab (yang beriman), kecuali jika mereka beriman kepada Isa sebelum kematian Isa. Dan pada hari Kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka. (4:160) Maka disebabkan kezaliman orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulu) dihalalkan bagi mereka, dan kerana mereka banyak menghalangi (manusia) dari jalan Allah. (4:161) Dan disebabkan mereka memakan riba, padahal mereka telah dilarang dari memakan riba, dan kerana mereka memakan harta benda orang lain dengan jalan yang batil (tidak benar). Kami telah menyediakan untuk orang orang kafir di antara mereka itu seksaan yang pedih.