Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(47:22) Maka boleh jadi jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan kamu memutuskan hubungan keluarga? (47:23) Mereka itulah orang-orang yang dilaknat Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka, dan dibutakan-Nya penglihatan mereka. (47:24) Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran atau atas hati mereka kunci penutup? (47:25) Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang (atau kepada kekafiran) selepas petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitan menggoda mereka dan memanjangkan angan-angan mereka. (47:26) Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (orang-orang munafik) itu berkata kepada orang-orang yang benci kepada Al Quran yang diturunkan Allah : "kami akan mematuhi kamu dalam sebahagian urusan", sedang Allah mengetahui rahsia mereka (orang-orang munafik itu). (47:27) Maka bagaimana apabila malaikat mematikan mereka seraya memukul muka dan punggung mereka? (47:28) Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan mereka benci keredaan-Nya, oleh sebab itu Allah menghapus (pahala) amal perbuatan mereka.