Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(52:22) Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari apa yang mereka ingini. (52:23) Di dalam syurga, mereka saling mengedarkan piala-piala (atau gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa. (52:24) Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. (52:25) Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling bertanya (52:26) Mereka berkata: "Sesungguhnya kami dahulu, dalam keluarga kami adalah orang-orang yang takut (kepada azab Allah)". (52:27) Maka Allah memberikan kurniaan kepada kami dan Dia memelihara kami dari azab yang sangat panas (iaitu neraka). (52:28) Sesungguhnya kami dahulu menyeru kepada-Nya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Melimpahkan Kebaikan lagi Maha Penyayang.