Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(2:225) Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dengan sungguh-sungguh, tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpah yang) diusahakan (oleh) hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. (2:226) Bagi orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri dan tidak pula menceraikan isterinya (maka) harus menunggu (selama) empat bulan. Kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (2:227) Dan jika mereka memutuskan niat untuk talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (2:228) Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri mereka tiga kali suci dari haid. Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya berhak merujuki mereka dalam masa (hamil) itu, jika mereka (para suami) menghendaki pendamaian. Dan bagi para wanita seperti yang (suaminya mengajak rujuk itu) kepada mereka (maka harus menerima) dengan cara yang baik (pula). Dan para suami (mempunyai) satu tingkat kelebihan dari isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (2:229) Talak (yang dapat dirujuki) itu dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang patut atau menceraikan dengan cara yang baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu dari yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami dan isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isterinya untuk menebus sesuatu itu. Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (2:230) Kemudian jika si suami menceraikan isterinya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak lagi halal baginya hingga dia menikah dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk menikah kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang (mahu) mengetahui. (2:231) Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan cara yang baik, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik (pula). Janganlah kamu rujuki mereka dengan maksud memberi mudarat untuk menzalimi mereka. Barang siapa berbuat demikian, maka sungguh ia menzalimi dirinya (sendiri). Janganlah kamu jadikan ayat-ayat Allah (sebagai) permainan, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu, dan apa yang telah diturunkan Allah kepadamu iaitu Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah atau hadis). Allah mengajarkan kamu dengannya (Al Quran dan hadis). Dan bertakwalah kepada Allah, serta ketahuilah olehmu bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.