Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(2:232) Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, lalu habis masa idahnya, maka janganlah kamu menghalangi mereka untuk menikah lagi dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang baik. Itulah yang dinasihatkan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari akhirat. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (2:233) Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi rezeki dan pakaian kepada mereka (isteri dan anaknya) dengan cara baik. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan jangan pula seorang ayah (menderita) kerana anaknya. Ahli waris pun (berkewajipan) seperti demikian (itu pula). Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan perundingan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah olehmu bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (2:234) Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka (isteri-isteri itu) menangguhkan dirinya (beridah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya, maka tiada dosa bagimu membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (2:235) Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran (yang baik) atau kamu menyembunyikan (keinginan meminang itu) dalam dirimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, tetapi janganlah kamu mengadakan janji menikah dengan mereka secara rahsia, kecuali sekedar mengucapkan perkataan yang baik. Dan janganlah kamu bermaksud untuk berakad nikah, sebelum habis masa idahnya. Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang di dalam dirimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. (2:236) Tidak ada dosa bagimu jika kamu menceraikan isteri-isterimu yang belum kamu sentuh (atau dicampuri) atau (belum) kamu tentukan mahar bagi mereka. Dan hendaklah kamu beri mereka mutah (yakni pemberian wang, barang dan sebagainya), dan orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu hadiah yang baik. Yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan. (2:237) Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan mahar bagi mereka, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah, dan pemaafan kamu itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu melupakan keutamaan (atau kebaikan budi pekerti) di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan. (2:238) Peliharalah oleh kamu semua solat dan solat wustha (atau solat `Asar). Berdirilah kamu untuk Allah (dalam solat) dengan tunduk (melihat ke bawah).