Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(2:239) Jika kamu dalam keadaan takut, maka solatlah sambil berjalan atau berkendaraan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka ingatlah Allah (dan solatlah lagi), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. (2:240) Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) nafkah sampai setahun tanpa mengeluarkannya (dari rumah). Akan tetapi jika mereka keluar (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (mengenai apa) yang mereka perbuat terhadap diri mereka sendiri dalam hal-hal yang baik. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (2:241) Dan bagi wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberi) mutah menurut cara yang patut, sebagai suatu kebajikan bagi orang-orang yang takwa. (2:242) Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya supaya kamu memahaminya. (2:243) Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang keluar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) kerana takut mati; maka Allah berfirman kepada mereka: "Matilah kamu", kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (2:244) Dan berperanglah kamu di jalan Allah, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (2:245) Barang siapa yang mahu memberi pinjaman (atau sedekah) kerana Allah, pinjaman (atau sedekah) yang baik, maka Allah akan melipatgandakan ganti kepadanya dengan berlipat ganda. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.