Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(20:36) Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu, wahai Musa". (20:37) Dan sesungguhnya Kami telah memberi nikmat kepadamu pada kesempatan yang lain, (20:38) iaitu ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan, (20:39) Iaitu: "Letakkanlah ia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkanlah peti itu ke sungai (Nil), maka pasti arus sungai itu membawa peti itu ke tepi sungai, supaya diambil oleh (Firaun) musuh - Ku dan musuhnya. Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku; dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku, (20:40) (iaitu) ketika saudara perempuanmu berjalan, lalu ia berkata kepada (keluarga Firaun) "Bolehkah saya menunjukkan kepadamu orang yang akan memeliharanya?" Maka Kami mengembalikanmu kepada ibumu, agar senang hatinya dan tidak berduka cita. Dan kamu pernah membunuh seorang manusia, lalu Kami selamatkan kamu dari kesusahan dan Kami telah mencubamu dengan beberapa cubaan; maka kamu tinggal beberapa tahun diantara penduduk Madyan, kemudian kamu datang menurut waktu yang ditetapkan wahai Musa, (20:41) dan Aku telah memilihmu untuk diri-Ku. (20:42) Pergilah kamu beserta saudaramu dengan membawa ayat-ayat-Ku, dan janganlah kamu berdua lalai dalam mengingati-Ku;