Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(19:43) Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. (19:44) Wahai bapaku, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. (19:45) Wahai bapaku, sesungguhnya aku bimbang bahawa kamu akan ditimpa azab dari Tuhan Yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan". (19:46) Bapanya berkata: "Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan kurejam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama". (19:47) Ibrahim berkata: "Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memintakan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku. (19:48) Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku". (19:49) Maka ketika Ibrahim sudah menjauhkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, Kami anugerahkan kepadanya Ishaq, dan Yaakub. Dan masing-masing Kami angkat menjadi nabi.