Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(39:71) Orang-orang kafir dibawa ke neraka Jahanam berbondong-bondong. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu, dibukakanlah pintu-pintunya, dan penjaga-penjaga neraka itu berkata kepada mereka: "Apakah belum pernah datang kepadamu rasul-rasul di antaramu yang membacakan kepadamu ayat-ayat Tuhanmu dan memperingatkan kepadamu akan pertemuan hari kamu ini?" Mereka menjawab: "Benar (telah datang)". Tetapi telah pasti berlaku ketetapan azab terhadap orang-orang yang kafir. (39:72) Dikatakan (kepada mereka): "Masukilah pintu-pintu neraka Jahanam itu, sedang kamu kekal di dalamnya" Maka neraka Jahanam itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri. (39:73) Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa ke dalam syurga berbondong-bondong (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu, sedang pintu-pintu syurga itu telah terbuka dan penjaga-penjaga syurga berkata kepada mereka: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu. Berbahagialah kamu! maka masukilah syurga itu, sedang kamu kekal di dalam syurga itu". (39:74) Dan mereka mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan Dia mewariskan kepada kami, bumi tempat kami tinggal dan di syurga di mana sahaja yang kami kehendaki; maka syurga itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal". (39:75) Dan kamu (Muhammad) akan melihat malaikat-malaikat berkerumun di sekeliling `Arsy bertasbih sambil memuji Tuhannya; dan diberi keputusan di antara mereka dengan adil dan diucapkan: "Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam".