Language: Malay, Translator: (please see "About" page)
(5:92) Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul(Nya) dan waspadalah kamu. Jika kamu berpaling (dari Al Quran), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (Al Quran sebagai amanat Allah) yang nyata. (5:93) Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (5:94) Wahai orang-orang yang beriman, Allah akan benar-benar menguji kamu dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah didapat oleh tangan dan tombakmu kerana Allah ingin mengetahui siapa yang takut kepada-Nya yang tidak terlihat. Barang siapa yang melanggar batas sesudah itu, maka baginya azab yang pedih. (5:95) Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan, ketika kamu sedang ihram (dalam ibadah haji atau umrah). Barang siapa di antara kamu membunuhnya dengan sengaja, maka denda baginya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang dengan binatang buruan yang dibunuhnya, menurut putusan dua orang yang adil di antara kamu sebagai binatang hadyu (atau haiwan-haiwan korban) yang dibawa sampai ke Ka`bah atau (denda baginya) membayar kafarat dengan memberi makan orang-orang miskin atau berpuasa seimbang dengan makanan yang dikeluarkan itu, supaya dia merasakan akibat buruk dari perbuatannya. Allah telah memaafkan apa yang telah lalu. Dan barang siapa yang kembali mengerjakan hal itu, nescaya Allah akan menyeksanya. Allah Maha Kuasa lagi mempunyai (kekuasaan untuk) menyeksa. (5:96) Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya-lah kamu dihimpunkan (5:97) Allah telah menjadikan Ka`bah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadatan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan Haram, binatang hadyu (haiwan korban), binatang qalaid (haiwan korban yang diberi tanda atau dikalungi). (Allah menjadikan yang) demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (5:98) Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah sangat keras seksa-Nya dan bahawa sungguh Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.